Susulan Kisah Kemalangan Treler-4 buah kereta di Kota Tinggi
sumber : http://suarabawahtanah.com/2012/12/17/kemalangan-maut-di-jalan-sg-rengit-anak-sayu-lihat-bapa-tersepit/
“Tumpuan saya hanya kepada ayah. Saya langsung tidak fikirkan keadaan huru-hara di luar.
“Sebaliknya sedaya upaya saya cuba membantu ayah yang tersepit di
tempat duduk pemandu selepas dirempuh treler,” cerita Mohd Hasni Abdul
Samah, 23, ketika ditemui Sinar Harian di Hospital Kota Tinggi (HKT).
Mohd Hasni antara mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 44 Jalan Sg Rengit – Kota Tinggi, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, tiga maut setelah terlibat
dalam kemalangan yang membabitkan lima kenderaan. Mohd Hasni, hanya
cedera ringan
Kejadian itu meragut nyawa Mohd Ali Kenid, 51, dari Felcra Sg Layau
yang meninggal dunia di tempat kejadian; sementara Abdul Samah Darmawi,
56, peneroka Felda Kledang; dan Siti Noraziah Abdul Wahab, 21, dari
Felda Sg Mas meninggal dunia di HKT.
Menceritakan kejadian, Mohd Hasni berkata, dia bersama ayahnya dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi menuju ke Felda Kledang.
“Saya melihat dengan jelas kejadian ini di mana dua kereta jenis Proton Saga di hadapan kami memasuki laluan bertentangan.
“Ketika itu, ayah sempat bersuara dan bertanya ‘eh kenapa dengan kereta tu?’.
“Dalam sekelip mata, lori yang cuba mengelak kereta Proton Saga itu hilang kawalan dan terus merempuh kenderaan kami.
“Saya yang berada di tempat duduk penumpang melihat ayah sudah tersepit tidak sedarkan diri,” katanya.
Lambaian terakhir suami
ISTERI Allahyarham Abdul Samah, Zainab Khalid, 54, tidak menyangka
ciuman dan lambaian tangan suaminya tengah hari kelmarin adalah petanda
dia akan ditinggalkan buat selamanya.
Ketika itu mangsa hendak ke Felda Kledang kerana mahu melihat anak
hasil perkahwinan dengan isteri pertamanya yang belajar di Terengganu
pulang bercuti.
“Saya diberitahu mengenai kejadian jam 5.30 petang, terus bergegas ke HKT.
“Dia kata akan balik esok (semalam). Sebelum bertolak arwah sempat cium pipi dan lambai tangan kepada saya.
“Saya mula merasa pelik kerana sebelum ini arwah tidak pernah begitu,
namun tidak sangka ia adalah pertemuan terakhir kami,” katanya.
Sementara itu, anak sulung kepada Mohd Ali, Norain, 25, tidak
menyangka perbualannya dengan bapa tersayang sehari sebelum kejadian
adalah yang terakhir bagi mereka berdua.
“Ketika berbual, saya mengadu kepada arwah tentang kereta saya yang dilanggar lori semasa dalam perjalanan pulang dari kerja.
“Arwah yang bekerja sebagai nelayan ketika itu sedang membelek jaringnya, berpesan supaya saya sabar.
“Pesanannya masih segar di ingatan saya, tetapi tidak sangka arwah pula akan terlibat dengan kemalangan lori.
“Malah saya melihat dengan mata saya sendiri di mana kereta ayah yang melekat di badan lori treler itu.
“Mayatnya pula sudah ditutup dengan plastik hitam ketika saya sampai di tempat kejadian,” katanya.
Difahamkan, jenazah ketiga-tiga mangsa dituntut oleh keluarga
masing-masing dan sudah dibawa pulang untuk dikebumikan di tanah
perkuburan Islam di Felcra Sungai Layau, Felda Sungai Mas dan juga Felda
Tenggaroh 5.
Kes sedang disiasat
KETUA Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik
berkata, kejadian berlaku apabila sebuah treler dari arah Sungai Rengit
dipercayai bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Saga dari arah
Kota Tinggi sebelum melibatkan tiga kereta lain.
“Sebanyak lima kenderaan terlibat iaitu sebuah treler, dua buah kereta jenis Proton Wira dan dua kereta jenis Proton Saga.
“Mangsa pemandu kereta jenis Proton Wira (Mohd Ali) maut di lokasi kejadian, manakala dua mangsa meninggal dunia di HKT.
“Pemandu treler dan pemandu sebuah lagi kereta Proton Saga tidak
mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu,
semalam.
Che Mahazan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian dan pemandu treler ditahan untuk disoal siasat.
No comments:
Post a Comment